Berita Nasional - 25 Feb
2005
Suruhanjaya Antara
Agama bercanggah Perlembagaan
Oleh Shaarani Ismail dan
Mohd Faizul Haika Mat Khazi
KUALA BERANG: Menteri di
Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abdullah Md Zin membidas Majlis Peguam kerana
mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Antara Agama (IRC) yang bercanggah dengan
Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata, selama
ini Perlembagaan dan Islam tidak pernah menghalang mana-mana penganut agama
untuk mengamalkan ajaran masing-masing.
“Saya tak bersetuju. Sebagai menteri saya menentang kerana ia bercanggah dengan
Perlembagaan Persekutuan di mana Islam menjadi agama rasmi.
“Jika mereka (Majlis Peguam) mahukan wujudkan suruhanjaya antara agama lain itu
terserah, tapi jika mahu babitkan Islam... kita tak boleh terima kerana
bercanggah,” katanya selepas merasmikan Program Kajian Dalam Komuniti 2005
anjuran Kolej Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (Kustem) di perkampungan
Orang Asli Sungai Berua di sini, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Majlis Peguam
membincangkan penubuhan IRC pada persidangan dua hari di Bangi, Selangor,
bermula semalam.
Cadangan itu mendapat reaksi negatif pelbagai pertubuhan yang menyifatkannya
sebagai mencampuri urusan agama lain serta mengganggu sensitiviti umat Islam.
Abdullah berkata, jika suruhanjaya berkenaan ditubuhkan, bermakna Islam akan
terletak di bawah suruhanjaya seperti agama lain dan perkara itu tidak mungkin
berlaku sebagaimana yang sudah termaktub dalam Perlembagaan.
“Bagaimanapun, jika ada pihak yang mahukan dialog mengenai Islam diadakan,
perkara itu boleh diserahkan kepada Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
untuk diuruskan secara profesional dan intelek,” katanya.
Beliau berkata, perkara itu adalah isu lama yang hanya mahu mencetuskan
sensitiviti kepada masyarakat Islam.
“Sebagai menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal berkaitan Islam, saya
tetap mempertahankan bantahan itu,” katanya.
Di KOTA BHARU, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, juga
membantah keras cadangan penubuhan suruhanjaya itu.
Nik Abdul Aziz yang ditemui pemberita selepas majlis perjumpaan dengan Syarikat
Ladang Sungai Terah Sendirian (SLST) Berhad, semalam berkata, cadangan itu
adalah taktik halus yang cuba digunakan pihak luar untuk campur tangan secara
tidak langsung dalam urusan dan hal ehwal agama Islam.
“Sejak dulu lagi, segala urusan berkaitan Islam diuruskan secara mutlak oleh
umat Islam tanpa sebarang bantuan daripada pihak luar.
“Malah sebelum ini, ada pihak tertentu cuba campur tangan dalam urusan hal ehwal
agama Islam di Asia Barat tetapi tidak berhasil.
“Pihak terbabit gagal berbuat demikian kerana cadangan mereka mendapat tentangan
hebat daripada umat Islam di sana,” katanya.